Speaker
Description
Dalam era kemajuan teknologi yang pesat, proses digitalisasi telah menjadi komponen utama dalam organisasi moden, membolehkan pekerja untuk berhubung, berkomunikasi, dan bekerjasama dengan lebih berkesan. Di Malaysia, usaha transformasi digital negara memerlukan pemberdayaan sektor awam melalui pemodenan perkhidmatan awam menggunakan aplikasi teknologi dan data (atau “govtech”). Bagi mencapai matlamat ini, perkhidmatan awam perlu mempunyai kepimpinan organisasi yang berupaya menangani cabaran mutakhir dalam teknologi dan pendigitalan disamping menguasai kompetensi digital di tahap yang tinggi supaya dasar dan inisiatif kerajaan berteraskan pendekatan digital dan teknologi dapat dilaksanakan dengan jaya. Kerajaan Malaysia dalam rangka pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) turut menekankan elemen pembangunan kepimpinan digital sebagai salah satu strategik utama pelaksanaannya. Kertas konsep ini bertujuan untuk mengkaji hubungan antara digitalisasi organisasi khususnya tempat kerja digital dan prestasi individu dalam perkhidmatan awam. Menggunakan teori Dynamic Capabilites View (DCV) sebagai kerangka teori, penyelidik mencadangkan model kajian untuk meneroka bagaimana tempat kerja digital dapat meningkatkan prestasi individu dan bagaimana stail kepimpinan digital memainkan peranan sebagai pembolehubah penyederhana terhadap hubungan ini. Melalui kajian konseptual ini, penyelidik menekankan kepentingan kepimpinan digital dalam memanfaatkan usaha digitalisasi organisasi. Hasil kajian konseptual ini bertujuan untuk memberikan cadangan yang lebih mendalam tentang bagaimana kepimpinan digital boleh mempengaruhi prestasi organisasi melalui prestasi individu dan seterusnya menyokong visi kerajaan Malaysia untuk menjadi kerajaan digital yang holistik. Kertas konseptual ini berharap dapat menyumbang kepada pemahaman yang lebih baik tentang peranan kepimpinan digital dalam konteks transformasi digital di sektor awam Malaysia dan membuka ruang penyelidikan yang lebih luas dalam bidang sumber manusia.
Katakunci: Digitalisasi, Transformasi Digital, Prestasi, Kepimpinan Digital, Tempat Kerja Digital