Speaker
Description
Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menjalani transformasi yang luar biasa sejak penubuhannya pada tahun 1956 sebagai Dewan Latihan RIDA, sebelum diangkat menjadi Universiti Teknologi MARA. Kajian ini menggunakan pendekatan reka bentuk kualitatif iaitu dengan menganalisis dokumen. Tujuan kajian adalah untuk menyelidik latar belakang dan sejarah penubuhan UiTM, serta untuk memahami perjalanan institusi ini dalam menghadapi pelbagai perubahan. Selain itu, tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti aspek-aspek perubahan yang telah berlaku sepanjang sejarah UiTM dan untuk mencari peluang penambahbaikan dalam pengurusan perubahan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa UiTM telah melalui beberapa fasa perkembangan yang signifikan, menjadikannya sebagai sebuah universiti awam terbesar di Malaysia. Setiap fasa ini telah membentuk cara warga UiTM mendepani cabaran yang timbul, termasuk perubahan dalam struktur organisasi, kurikulum, dan teknologi pendidikan.Kajian ini juga meneliti evolusi UiTM dari perspektif pengurusan perubahan, menekankan pentingnya penyesuaian diri warga terhadap perubahan dalam konteks pemikiran kritis, komunikasi yang berkesan, sinergi antara pelbagai pihak, serta peningkatan pengetahuan dan literasi digital. Dengan memahami elemen-elemen ini, para pentadbir universiti dapat menerapkan strategi pengurusan perubahan yang lebih efektif.Secara keseluruhannya, kajian ini memberikan panduan kepada UiTM untuk merealisasikan aspirasi sebagai institusi yang dihormati di peringkat global, di samping terus memainkan peranan penting dalam memacu amanah agama, bangsa, dan negara.
(Kata kunci: UiTM, evolusi, pengurusan perubahan, pentadbir universiti)